Badan hak asasi minta Obama gesa Najib bebaskan Anwar

Sumber: The Malaysian Insider

HRWlogoSebuah badan hak asasi manusia antarabangsa menyeru Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama menggunakan sidang kemuncak AS-Asean yang akan datang untuk menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara dan menggugurkan semua tuduhan ke atasnya yang bermotifkan politik.

Human Rights Watch (HRW) berkata, jemputan kepada Najib untuk menghadiri sidang kemuncak itu, yang akan diadakan di Amerika Syarikat (AS) minggu depan, menimbulkan kemarahan di kalangan masyarakat sivil Malaysia.

“Presiden Obama tidak boleh berurusan seperti biasa dengan Najib pada sidang kemuncak AS-Asean itu,” kata Phil Robertson, timbalan pengarah HRW di Asia, dalam satu kenyataan hari ini sempena memperingati ulang tahun pertama pemenjaraan Anwar esok.

“Ia akan menjadi satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia jika Obama tidak secara terbuka menggesa Anwar dibebaskan.

“Begitu juga, segala tuduhan bermotifkan politik atas kesalahan menghasut dan jenayah lain, yang dihadapi begitu ramai aktivis Malaysia hari ini, harus digugurkan.”

HRW berkata, Putrajaya perlu melepaskan Anwar “tanpa syarat” kerana pemenjaraan beliau adalah mengenai “tuduhan bermotifkan politik”.

Robertson berkata, selama mana bekas ketua pembangkang itu dipenjarakan, selagi itulah keyakinan terhadap sistem keadilan Malaysia terhakis setiap hari.

“Sabitan dan hukuman penjara ke atas Anwar mengalihkan satu ancaman politik utama kepada kerajaan Najib,” kata Robertson.

HRW berkata, Putrajaya juga perlu memastikan ketua umum PKR itu mempunyai akses kepada perkhidmatan perubatan sewajarnya ketika di dalam penjara dan membantu beliau pergi ke luar negara untuk merawat penyakit.

Mahkamah Persekutuan tahun lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Anwar bersalah meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara.

AS ketika itu berkata, ia “amat kecewa dan khuatir” dengan keputusan perbicaraan itu. – 9 Februari, 2016.

 

Related Article


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *