SKMM lakukan serbuan terhadap individu muat naik kandungan jelik

Sumber: The Malaysian Insider

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 3 serbuan berasingan terhadap 3 individu disyaki memuat naik kandungan yang jelik sifatnya.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata serbuan di Kuala Lumpur, Cheras dan Bangi itu dibuat baru-baru ini berikutan aduan orang awam yang diterima melibatkan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial.

Kenyataan itu menyebut beberapa kelengkapan komunikasi milik suspek seperti komputer riba, telefon bimbit dan kad sim yang digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut disita.

Rakaman percakapan suspek turut diambil bagi membantu siasatan, selain pihak SKMM juga menghalang penggunaan beberapa laman sesawang dan blog yang memuatkan kandungan serupa.

Reuters file pic, January 29, 2016.

“SKMM memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial dan ingin mengingatkan orang ramai adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk memuat naik apa bentuk komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain,” kata kenyataan melalui laman Facebook suruhanjaya itu.

Kenyataan itu menyebut jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya. – Bernama, 29 Januari, 2016.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *