AS perlu galak Malaysia teruskan agenda Islam sederhana untuk perangi Isis

Sumber: The Malaysian Insider

Amerika Syarikat perlu menggalakkan Malaysia meneruskan agenda Islam sederhana sebenar jika mahu mematahkan Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Januari, 2016.

Amerika Syarikat (AS) patut menggalakkan Malaysia meneruskan agenda Islam sederhana yang “sebenar” jika mahu mematahkan Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis), menurut laporan bertajuk “Sokongan Rakyat Indonesia dan Malaysia kepada Negara Islam”.

Laporan itu yang dikeluarkan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS berkata usaha Malaysia memerangi keganasan mencapai beberapa kejayaan, tetapi tersekat dengan sokongan kerajaan kepada kepentingan Islam konservatif.

Katanya, sayap kanan Putrajaya terpaksa tunduk kepada keperluan menenangkan sokongan kepada Umno yang menurun, mengasingkan populasi Islam yang penting dan boleh membantu memerangi pengaruh militan.

“Pada peringkat lebih luas, pemerintah AS patut memberi galakan dan sokongan terhadap agenda domestik Islam sederhana sebenar di Indonesia dan Malaysia,” menurut laporan yang diterbitkan pada 6 Januari itu dan boleh didapati secara atas talian.

“Dalam kes rakyat Malaysia, imej Islam sederhana yang dipaparkan di peringkat antarabangsa tidak tercermin dalam dasar dalam negara, meningkatkan mazhab dan permusuhan, bukan saja kepada hak agama minoriti tetapi juga terhadap pandangan umat Islam progresif.”

Laporan itu berkata menerusi laporan tahunan Jabatan Negeri AS mengenai hak agama di Indonesia dan Malaysia merakamkan penurunan toleransi di kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan dirinya sebaris dengan “konservatif, pengaruh salafi” di Malaysia, walaupun dihormati sebagai pembela Islam sederhana di pentas antarabangsa, kata laporan itu.

Laporan itu berkata respons utama Malaysia terhadap Isis ialah memperhebat tindakan polis, buat penahanan awal dan mengukuhkan “undang-undang drakonian sedia ada”.

“Birokrasi Islam Malaysia tidak berkesan dalam menentang mesej Isis, terutamanya doktrin jihad.

“Khutbah baru-baru ini gagal menjelaskan hubung kait antara jihad sebagai perang dan jihad jenis lain, dan menolak jihad Isis hanya kerana Isis melakukan kekejaman kepada umat Islam dan bukan Islam tanpa perbezaan.”

Bagaimanapun, laporan itu menambah AS mempunyai peluang terhad untuk terbabit dengan Malaysia dalam isu mencegah keganasan berbanding 10 hingga 15 tahun lalu.

“Cawangan Khas Malaysia hanya membenarkan kerjasama terhad dengan agensi asing dan sangat mengawal ketat sumber maklumatnya.”

Laporan itu disediakan Profesor Madya Greg Fealy dari Jabatan Perubahan Politik Sosial di Australian National University, sementara Dr John Funston ialah felo pelawat di Hal Ehwal Asia Pasific Coral Bell School di universiti sama menyumbang kepada seksyen Malaysia.

Penulis berkenaan berkata laporan mereka tidak semestinya mencerminkan pandangan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS atau kerajaan AS. – 15 Januari, 2016.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *