2 murid Orang Asli mahu keluar dari SK Tohoi

Sumber: The Malaysian Insider

Dua murid Orang Asli iaitu Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11, tidak lagi berminat meneruskan persekolahan di SK Tohoi kerana masih trauma dengan kejadian menimpa mereka. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Disember, 2015.

Dua murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang ditemui selamat dalam kejadian 7 murid hilang Ogos lepas, menyuarakan hasrat mahu berpindah ke SK Kuala Betis, di Gua Musang.

Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11, tidak lagi berminat meneruskan persekolahan di SK Tohoi kerana masih trauma dengan kejadian menimpa mereka.

Ibu Norieen, Midah Angah, 40, berkata anaknya sudah menyatakan hasrat untuk kembali ke sekolah, tetapi tidak mahu ke SK Tohoi.

“Saya harap akan ada perbincangan dengan Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli untuk menyelesaikan perkara ini.

“Saya tahu SK Tohoi banyak melakukan penambahbaikan, tetapi anak saya tidak mahu bersekolah di situ lagi dan mahu dihantar ke SK Kuala Betis kerana ada kemudahan asrama,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Penad hari ini.

Ogos lepas, tujuh murid SK Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama kerana takut dikenakan hukuman oleh guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

The two orang asli kids who were found barely alive in the jungle say they want to transfer out of SK Tohoi to another school with hostel facilities. – The Malaysian Insider file pic, December 28, 2015.

Selain Miksudiar dan Norieen, 5 lagi kanak-kanak yang hilang ialah Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaakob, 8; Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, dengan kesemua mereka dari Kampung Gawin dan Kampung Penad.

Lebih memilukan, selepas hampir 50 hari hilang di dalam hutan, empat daripada kanak-kanak itu – Ika, Haikal, Linda dan Juvina ditemui mati. Seorang lagi mangsa, Sasa Sobrie, belum ditemui.

Miksudiar dan Norieen ditemui masih hidup dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi di tebing sebuah sungai di belantara Tohoi.

Ditanya mengenai tahap kesihatan Norieen, Midah berkata anaknya masih trauma dengan kejadian menimpanya sehingga kadang kala menangis pada waktu malam.

“Trauma itu menyebabkan tidur Norieen sering terganggu. Saya sering memujuknya melupakan kejadian itu walaupun dia mula keluar rumah untuk bermain bersama rakan-rakan sejiran,” katanya sambil menambah Norieen juga kerap ke kubur adiknya Haikal, kerana dua beradik itu amat akrab.

Sementara itu, bapa saudara Mirsudiar, Akik Bahir, 46, ketika ditemui di Kampung Gawin berkata Miksudiar masih berpantang makan kerana masalah jantung.

“Miksudiar kembali pulih dan kembali berkawan dengan rakan-rakan berdekatan rumahnya, namun tidak mahu kembali ke SK Tohoi kerana kejadian itu masih menghantui pemikiran mereka,” katanya. – Bernama, 28 Disember, 2015.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *