Asma, masalah pernafasan meningkat akibat perlombongan bauksit Kuantan

Sumber: The Malaysian Insider

Seorang pekerja membersihkan lori bauksit yang diliputi debu merah di Pelabuhan Kuantan, Pahang. Situasi itu dikatakan menjadi punca kepada masalah kesihatan kepada ramai penduduk setempat. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 19 Disember, 2015.

Hanya ada satu penjelasan, kata guru sekolah Syed Sharinnizam Syed Mohd Shah, ketika menyaksikan semakin ramai pelajarnya tiba-tiba mengalami ruam dan masalah pernafasan.

Katanya, ia pasti berpunca daripada habuk merah yang memenuhi udara di sekitar sekolah itu, Maahad Tahfiz Anwar At-Tanzil yang terletak di Tanjung Pasir dekat Kuantan, Pahang.

Sekolah agama itu terletak di sebelah jalan besar yang dilalui lori setiap hari, membawa bauksit mentah dari lombong ke pelabuhan.

“Mungkin (ruam) boleh disebabkan pakaian kotor atau apa-apa sahaja jika ia hanya berlaku kepada seseorang. Tapi ia berlarutan daripada seorang pelajar kepada pelajar lain. Gatal, batuk dan demam,” kata Syed Sharinnizam, 32.

Satu-satu anaknya, Syed Abdul Qadir, berumur 6 bulan juga mengalami kesukaran bernafas dan terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Dia tidak dilahirkan sedemikian. Tetapi terpaksa dimasukkan ke hospital kerana masalah pernafasan. Saya tidak nampak lagi sebab lain kecuali perlombongan bauksit,” katanya ketika ditemui media ketika lawatan ke kawasan perlombongan bauksit di Kuantan, baru-baru ini.

Pakar kanak-kanak di Hospital Kuantan, Dr Syed Abdul Khaliq Syed Abdul Hamid berkata, keadaan bertambah buruk apabila lebih 10 kanak-kanak yang tinggal berhampiran kawasan perlombongan itu dilaporkan menghidap asma.

Lori bauksit melalui jalan yang sama digunakan penduduk kampung bagi membawa keluar bauksit dari Felda Bukit Goh Kuantan, Pahang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 19 Disember, 2015.
Lori bauksit melalui jalan yang sama digunakan penduduk kampung bagi membawa keluar bauksit dari Felda Bukit Goh Kuantan, Pahang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 19 Disember, 2015.

“Saya mempunyai ramai pesakit di kawasan perlombongan bauksit di mana asma tidak terkawal. Mereka tidak boleh tidur pada waktu malam kerana kesukaran bernafas, dan ini memberi kesan kepada sesi persekolahan serta perkembangan mereka,” katanya.

Doktor itu percaya pendedahan kepada habuk bauksit adalah puncanya kerana pesakit pulih sebaik saja mereka dibawa keluar daripada penempatan mereka.

“Apabila kami bawa anak-anak ini ke hospital, kanak-kanak itu dapat tidur dan bernafas lebih baik,” katanya.

Menurut Dr Syed Abdul Khalid, terdapat kes teruk di mana kanak-kanak tinggal di hospital selama kira-kira sebulan sebelum paru-parunya bertambah baik.

Bagi kanak-kanak yang menghidap masalah paru-paru lemah, beliau menasihati ibu bapa mereka supaya keluar dari kawasan tersebut dan mencari rumah baharu yang jauh dari tapak perlombongan.

“Ada yang dinasihatkan berpindah ke Pekan. Ia memberi kesan kepada mata pencarian kerana apabila perkara seperti ini berlaku, ia memberi kesan bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga ibu bapa yang bekerja.

“Ia merupakan satu kos tambahan untuk menjaga kanak-kanak di hospital,” katanya.

Kesan kepada kesihatan

Dr Syed Abdul Khalid berkata, pendedahan jangka panjang kepada bijih bauksit boleh memberi kesan kepada buah pinggang kerana ia merupakan sejenis logam berat seperti aluminium dan arsenik.

“Ia boleh menjadi beracun selepas terdedah dalam jangka waktu panjang. Kesan ke atas buah pinggang boleh dirasai hanya selepas bertahun-tahun lamanya,” katanya sambil menambah penduduk Kuantan tidak mampu lagi menunggu tindakan diambil terhadap perlombongan bauksit secara berleluasa bagi memenuhi pengeluaran aluminium di China.

Pengerusi Pahang Hospice Dr Pushpa Ratnam juga berkata, logam lain dikenal pasti terkandung dalam habuk bijih bauksit ialah torium, kadmium dan uranium dan ia boleh diserap badan melalui sistem pernafasan.

“Ini boleh menyebabkan masalah pernafasan dan saraf,” katanya.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sudah lama melahirkan kebimbangan terhadap krisis yang semakin buruk di kawasannya, dan kebimbangan beliau itu turut melibatkan keselamatan bekalan air mentah dari Sungai Pinang dan Mabok, di mana pelombong membuang sisa bijih bauksit.

“Tahap merkuri dalam sungai Pinang adalah 14 kali ganda lebih tinggi daripada kadar dibenarkan, manakala bagi Sungai Mabok, 10 kali ganda lebih tinggi,” katanya kepada media.

Fuziah juga berkata kedua-dua sungai itu bergabung dengan sungai Kuantan, yang merupakan sumber utama air mentah bagi loji rawatan air Semambu.

“Ini adalah sumber utama air minuman rakyat Kuantan,” kata pemimpin PKR itu.

Kesan kepada kesihatan manusia akibat merkuri termasuk boleh menyebabkan penyakit gila dan lumpuh dan juga kematian, katanya, memetik penyakit Minamata di Jepun disebabkan kebocoran perindustrian pada lewat 1950-an.

“Jika kita tidak menangani masalah ini di peringkat awal, kita mungkin berhadapan dengan satu tragedi besar,” katanya.

Kedua-dua pelombong bauksit sah dan tidak sah menjadi kebimbangan disebabkan permintaan tinggi dari China dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dikritik kerana lambat menangani perlombongan tidak terkawal dan pencemaran yang dihasilkan.

Pada 7 Disember lalu Adnan berkata, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta kerajaan negeri akan mengumumkan pelan bersama untuk menangani aktiviti perlombongan di negeri itu menjelang akhir bulan ini.

Bulan lalu, satu petisyen ditandatangani 2,400 penduduk Kuantan menyeru semua aktiviti perlombongan bauksit dihentikan dibawa untuk perbahasan di Dewan Rakyat tetapi ditolak Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia. – 19 Disember, 2015.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris & Artikel-artikel Berkenaan


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *