Murid tidur atas lantai dalam bangunan sekolah terbengkalai di Sarawak

Sumber: The Malaysian Insider

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang, Sarawak terpaksa belajar dan menetap di bangunan terbengkalai sejak 3 tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2015.

Harapan mendapatkan sebuah bangunan sekolah baharu yang moden untuk anak Kampung Long Sukang di Lawas, Sarawak tidak kesampaian 5 tahun lalu apabila kontraktornya melarikan diri.

Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang ketika ini hanya tinggalan bangunan 3 tingkat yang ditumbuhi lalang dengan lumut semakin menjalar pada koridor separuh siapnya serta najis anjing mengotorkan ruang bilik darjahnya.

Di asramanya pula, jumlah katilnya tidak mencukupi hingga memaksa sebahagian muridnya tidur beralaskan tilam nipis di atas lantai konkrit.

Projek terbengkalai ini adalah satu lagi contoh bagaimana masyarakat di pedalaman Sarawak terpaksa hidup dengan infrastruktur serba kekurangan walaupun Putrajaya mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Long Sukang Yaris Semayong menunjukkan bangunan sekolah yang terbengkalai tetapi terpaksa digunakan warga sekolah itu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2015.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Long Sukang Yaris Semayong menunjukkan bangunan sekolah yang terbengkalai tetapi terpaksa digunakan warga sekolah itu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2015.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Long Sukang Yaris Semayong berkata bangunan itu hanya kira-kira 70% siap dibina ketika pihak kontraktor meninggalkan projek itu pada 2010.

Daripada keseluruhan projek, hanya 3 bangunan siap dibina – 2 asrama dan sebuah dewan makan – walaupun begitu, kemasan terakhir masih belum selesai sepenuhnya.

Guru dan murid berpindah ke sekolah berkenaan sejak 3 tahun lalu, dari bangunan sekolah lama mereka yang diperbuat daripada papan, dan sejak itu, mereka terpaksa belajar dalam persekitaran bangunan separuh siap.

Salah satu bangunan asrama ditukar menjadi bilik darjah dan dilengkapi dengan meja, kerusi dan alat tulis.

Satu lagi bangunan asrama digunakan sebagai tempat penginapan 120 murid.

Murid lelaki dan perempuan terpaksa ditempatkan di bangunan asrama yang sama di SK Long Sukang apabila projek pembangunan sekolah itu terbengkalai sejak 5 tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2015.
Murid lelaki dan perempuan terpaksa ditempatkan di bangunan asrama yang sama di SK Long Sukang apabila projek pembangunan sekolah itu terbengkalai sejak 5 tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2015.
Tetapi, tidak seperti sekolah berasrama lain di mana murid lelaki dan perempuan ditempatkan jauh di bangunan berasingan, kanak-kanak di sini tinggal dalam bangunan yang sama.

Lawatan The Malaysian Insider ke sekolah itu baru-baru ini mendapati murid lelaki ditempatkan di sebelah barat bangunan manakala murid perempuan di sebelah timur.

Sebuah meja pengawal keselamatan, diletakkan di tengah-tengah laluan pejalan kaki antara tempat tidur murid lelaki dan perempuan.

Murid SK Long Sukang, Sarawak tidak sanggup lagi tinggal di asrama bangunan kayu menyebabkan mereka nekad berpindah juga ke bangunan sekarang, walaupun ia terbengkalai. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2015.
Murid SK Long Sukang, Sarawak tidak sanggup lagi tinggal di asrama bangunan kayu menyebabkan mereka nekad berpindah juga ke bangunan sekarang, walaupun ia terbengkalai. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2015.

Ditanya mengapa sekolah memilih untuk menempatkan murid ke asrama berkenaan, Semayong berkata:”Mereka tidak tahan tinggal di asrama kayu lama itu lagi.”

“Kami menunggu begitu lama untuk sekolah baharu tetapi ia tidak siap. Kami hendak sangat berpindah, jadi kami terpaksa membuat penyesuaian di mana yang patut.”

Tanda projek belum selesai ada di mana-mana, termasuk di bangunan asrama. Laluan utama tidak mempunyai tangga konkrit dan terpaksa dibina tangga kayu sementara.

Walaupun ia mempunyai perabot, tetapi katil tidak mencukupi, membuatkan murid lelaki terpaksa tidur di atas tilam nipis di atas lantai konkrit.

“Sekolah ini tidak ada duit, walaupun hanya untuk membeli tikar plastik bagi mengalas lantai konkrit. Pihak PIBG terpaksa berganding bahu membelinya,” kata Semayong.

Kelewatan akibat ‘masalah dalaman’

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, pembinaan dihentikan selepas pihak berkuasa mengesan pergerakan tanah dan aliran air semula jadi pada cerun di belakang blok pentadbiran dan bilik darjah.

“Oleh kerana faktor keselamatan, arahan berhenti kerja dikeluarkan. Tetapi pembinaan pada blok lain yang tidak terjejas diteruskan,” kata Ketua Setiausaha KPM Tan Sri Dr Madinah Mohamad menerusi emel yang dihantar.
Madinah berkata, sekolah ini dibina dalam satu pakej dengan projek lain dan mengakui ia lewat dari jadual asal kerana masalah dalaman kontraktor, usaha sama antara NCSB Engineering Sdn Bhd dan Sebiro Holdings Sdn Bhd.

Suasana dalam salah satu bilik darjah di bangunan asrama SK Long Sukang, Sarawak. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2015.
Suasana dalam salah satu bilik darjah di bangunan asrama SK Long Sukang, Sarawak. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2015.
Beliau berkata, kementerian itu sedang memuktamadkan rancangan untuk menstabilkan dan memperbaiki cerun itu. Selepas semua itu selesai, pembinaan di blok yang ditinggalkan itu akan disambung semula.

Sementara itu, usaha turut dilakukan bagi membantu murid tinggal di asrama dalam keadaan seberapa selesa yang mungkin.

Ini termasuk memastikan terdapat kakitangan yang mencukupi untuk memantau pergerakan mereka pada waktu malam memandangkan kanak-kanak lelaki dan perempuan ditempatkan di bangunan sama.

“Ada 3 pembantu pengurusan murid untuk menjaga keselamatan, kebersihan, kesihatan dan tatatertib semua murid di asrama. Guru itu juga bertindak sebagai warden yang memantau asrama dan pergerakan murid pada waktu malam,” kata Madinah.

Kementerian juga sudah memulakan proses membeli perabot dan katil untuk murid, kata Madinah, sambil menambah tikar linoleum sudah dibeli untuk murid meletakkan tilam dan barangan peribadi mereka.

“Proses perolehan akan mengambil sedikit masa. Jabatan Pelajaran Sarawak juga memastikan perabot asrama akan disediakan secepat mungkin untuk murid,” kata Madinah.

Dibina di atas sungai

Semayong berkata PIBG dimaklumkan mengenai sebab kelewatan dan kerja dihentikan, tetapi mereka mempersoalkan mengapa sejak awal kontraktor dibenarkan menjalankan kerja di tapak itu.

“Mereka bina blok pentadbiran itu di atas kawasan yang sebelumnya sungai. Mereka mengalihkan aliran asal sungai itu bagi membolehkan ia mengalir di sekitar bangunan baru.

“Tetapi tanah yang mereka bina bangunan atasnya itu, masih mempunyai takungan air,” kata Semayong, menunjukkan bahagian tingkat bawah yang mempunyai kolam air besar walaupun pada hakikatnya tidak hujan di Long Sukang pada hari itu.

Semasa lawatan The Malaysian Insider, Semayong menunjukkan bagaimana tanah di bawah separuh daripada bangunan pentadbiran dan bilik darjah itu kelihatan berpaya dan air bertakung di lantai.

“Jadi, persoalannya ialah, mengapa bina bangunan di atas sungai?,” dia melontarkan soalan tanpa jawapan. – 20 Oktober, 2015.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *