Rakyat Malaysia jangan takut untuk menyoal, kata peguam

Sumber: The Malaysian Insider

Peguam Syahredzan Johan bercakap kepada hadirin pada forum awam mengenai Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) di Pulau Pinang, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 5 Ogos, 2015.

Ketika kontroversi mengenai wang derma RM2.6 bilion dalam akaun bank perdana menteri hangat diperkatakan, peguam Syahredzan Johan yang lantang bersuara berkata, rakyat Malaysia tidak perlu takut untuk bertanya soalan.

Syahredzan, pengerusi bersama Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan Majlis Peguam berkata, soalan perlu ditanya dalam usaha untuk mempertahankan prinsip kebebasan berucap dan bersuara.

Beliau mendakwa, tujuan undang-undang seperti Akta Hasutan diperketatkan ialah supaya orang tidak bertanya soalan dan “bagi memenjarakan fikiran rakyat”.

“Kita ada prinsip tertentu yang kita patuhi dalam satu demokrasi. Kebebasan berucap dan bersuara adalah sebahagian daripada DNA kita, jadi kita berpegang kepada nilai ini.

“Kalau kita tidak mengatakan sesuatu kerana kita takut mereka cari kita, bermakna kita mengatakan nilai ini tidak begitu penting kepada kita.

“Adakah kita mahu menjadi jenis masyarakat yang membenarkan pihak berkuasa berbuat sesuka hati mereka kerana kita takut kita akan susah?

“Jangan takut walaupun undang-undang boleh dikenakan ke atas anda. Anda tidak keseorangan,” katanya pada forum awam mengenai Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan pindaan kepada Akta Hasutan 1948, anjuran Jawatankuasa Majlis Peguam Pulau Pinang di Pulau Pinang, malam tadi.

Syahredzan berkata demikian ketika memberi respons kepada soalan Pengerusi Jawatankuasa Peguam Pulau Pinang Shyama MM Narayanan Nair yang bertanya sama ada Akta Hasutan boleh digunakan terhadap rakyat yang memuat naik kenyataan di media sosial atau bertanya mengenai isu berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta RM2.6 bilion.

Katanya, Akta Hasutan berkait dengan jenayah membabitkan ucapan yang “berkecenderungan menghasut”, termasuk yang boleh membawa kebencian atau menghina atau mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan atau melahirkan perasaan berniat jahat dan permusuhan antara kaum.

Tetapi, peguam itu bertanya, bagaimana “kebencian” dan “berniat jahat” didefinasikan.

Syahredzan berkata, walaupun pindaan akta itu, yang dibuat awal tahun ini, menghapuskan jenayah kritikan terhadap kerajaan, masih ada peruntukan yang boleh digunakan pihak berkuasa terhadap pengkritik.

“Secara teknikalnya, mereka tidak boleh cari anda jika menyoal beliau atas kapasiti perdana menteri. Kita tidak menentang (Datuk Seri) Najib (Razak), tetapi beliau ditanya soalan kerana beliau perdana menteri.

“Tetapi kita ada peruntukan ‘tangkap semua’ yang termasuk menghina dan rasa tidak puas hati. Apabila anda post sesuatu di Facebook, ada kemungkinan siapa yang membacanya akan rasa tidak puas hati.

“Mereka boleh guna itu untuk mencari anda. Saya bukan hendak nasihat atau kata jangan tanya soalan. Sesetengah soalan perlu ditanya,” katanya.

Berhubung pindaan kepada Akta Hasutan itu, Syahredzan memberitahu forum yang dihadiri peguam, pelajar undang-undang dan orang awam itu, antara lain, ia membabitkan menjadikan satu kesalahan menyebarkan penerbitan berbentuk hasutan.

“Maksudnya, sekarang jika anda kongsi beberapa bahan, misalnya RM2.6 bilion masuk ke akaun seseorang menerusi kumpulan WhatsApp anda, dan bahan itu dianggap menghasut, anda mungkin dalam masalah.

“Mahkamah kini boleh mengeluarkan perintah larangan kepada mana-mana penerbitan yang mungkin boleh menyebabkan kecederaan atau kerosakan terhadap hartanah, atau menganjurkan niat jahat, permusuhan dan kebencian antara kaum dan agama.

“Ini bermakna jika pihak berkuasa tidak suka sesuatu penerbitan, seperti portal berita online, ia boleh meyakinkan mahkamah mendapatkan perintah larangan dengan mengatakan portal itu mungkin akan melakukan kesalahan.

“Sebaik saja ia diperoleh, ia boleh dikemukakan kepada penerbit atau individu terbabit untuk menarik semula penerbitan berkenaan. Selepas itu, individu yang meletakkan bahan itu di portal akan dilarang menggunakan peralatan elektronik,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa juga boleh menghalang akses kepada laman web oleh individu tidak dikenali menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Syahredzan menyelar bagaimana budi bicara hakim juga kini terhad susulan pindaan itu.

Katanya, ada beberapa isu berkenaan akta itu yang diwarisi Malaysia daripada British, termasuk pendakwaan terpilih, tahanan sembarangan dan tidak spesifik.

“Apa maksud kebencian dan niat jahat? Ia tidak didefinisikan dalam akta itu, menjadikan ia sangat luas di mana kita boleh berdepan situasi di mana semua orang dianggap menghasut,” katanya.

Syahredzan berkata satu lagi masalah besar dengan akta itu ialah niat tidak relevan, memetik Seksyen 3(3) yang menyatakan: “Niat orang kena tuduh pada masa dia melakukan atau cuba melakukan (tindakan menghasut)… akan dianggap tidak relevan jika tindakan itu sudah, atau mungkin dilakukan, atau perkataan, penerbitan atau perkara itu mempunyai kecenderungan menghasut”.

Peguam yang mempertahankan mereka yang didakwa kerana menghasut tidak boleh berhujah menyatakan anak guam mereka tidak ada niat untuk menghasut, kerana pendakwaan mengemukakan hujah dengan berkata niat tidak relevan, katanya.

“Untuk Akta Hasutan, apa yang anda perlukan ialah tindakan bersalah. Tidak ada elemen niat diperlukan. Tidak ada mens rea (prinsip undang-undang menyatakan seseorang itu tidak boleh menjadi bersalah atas suatu jenayah dilakukannya jika dia tidak berniat melakukan jenayah),” katanya.

Syahredzan mendakwa tindakan itu juga memudahkan pendakwaan membuktikan tindakan menghasut.

Katanya, ada kes menunjukkan seseorang masih boleh didapati menghasut walaupun apa yang dilakukannya tidak menjejaskan atau menyebabkan reaksi orang lain, atau ia sesuatu yang sememangnya benar.

“Jika perkataan yang dituturkan dibuat secara sewenang-wenang atau terlepas cakap, itu juga bukan pembelaan. Untuk media, melaporkan kesilapan atau membetulkan laporan verbatim masih boleh dianggap menghasut,” katanya.

Katanya, terdapat keadaan di mana akta itu digunakan sebagai undang-undang standard untuk menahan orang jika pihak berkuasa masih belum memutuskan undang-undang lain mana untuk digunakan, memetik bagaimana ahli politik, peguam, aktivis, wartawan dan orang biasa ditangkap baru-baru ini.

“Jika mereka tidak boleh guna Seksyen 124 Kanun Keseksaan, mereka akan guna Akta Hasutan dulu untuk tahan. Kemudian mereka akan lihat kesalahan lain yang boleh digunakan untuk pendakwaan.

“Kita sudah lihat keadaan itu berlaku kepada orang seperti (Ahli Parlimen Lembah Pantai) Nurul Izzah (Anwar) dan (kartunis) Zunar, peserta bantahan dan 5 TMI (pengarang The Malaysian Insider),” katanya dan menambah untuk mencapai kedamaian dan harmoni, perlu ada perpaduan dan penerimaan. – 5 Ogos, 2015.

 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *