Mahasiswa dakwa tertindas, desak Suhakam nyata pendirian

Sumber: The Malaysian Insider

Kesatuan Mahasiswa Malaysia kecewa dengan penindasan terhadap hak mahasiswa yang disifatkan menyekat tindakan mahasiswa bersifat progresif. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Jun, 2015
Kesatuan Mahasiswa Malaysia kecewa dengan penindasan terhadap hak mahasiswa yang disifatkan menyekat tindakan mahasiswa bersifat progresif. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Jun, 2015

Kesatuan Mahasiswa Malaysia hari ini menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyatakan pendirian secara terbuka berhubung penindasan hak mahasiswa yang berlaku sepanjang tempoh 2 tahun ini.

Pengerusinya, Khairol Najib Hashim berkata pihaknya memberi tempoh 3 hari kepada Suhakam untuk menyatakan pendirian itu dan ia termasuk membabitkan kes seperti UKM13 dan UIA2.

Selain itu, katanya, kesatuan mendesak Suhakam dan Kementerian Pelajaran Malaysia menyemak kembali Akta Universiti dan Kolej Universiti serta Peraturan Universiti yang bertentangan dengan hak serta kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Khairol berkata, tuntutan itu dibuat kerana kecewa dengan tindakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang memanggil mahasiswanya untuk dihadapkan di mahkamah.

“Ramadan ini menyaksikan 2 kes panggilan menghadap mahkamah melibatkan 13 mahasiswa UKM dan 2 UIA. Ia tindakan pihak universiti yang tidak berasas.

“Mahasiswa yang dipanggil bicara ini dituduh kerana mempertahankan hak mereka, iaitu menggesa pentadbiran UKM menyelesaikan masalah air bagi UKM manakala di UIA pula kerana menganjurkan forum akademik,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kesatuan menyifatkan tindakan kedua-dua universiti itu tidak bijak kerana isu yang membabitkan mahasiswa iaitu gesaan penyelesaian masalah air dan anjuran forum akademik merupakan hak dan keperluan mahasiswa.

“Sepatutnya peranan universiti adalah memberikan solusi yang konstruktif, bukan menyekat kebebasan mahasiswa. Malangnya pentadbiran universiti lebih memilih untuk menyekat tindakan mahasiswa bersifat progresif ini, ” katanya.

Katanya, dalam tempoh 2 tahun ini kira-kira 51 mahasiswa dikenakan tindakan tatatertib hanya kerana mempertahankan hak mereka ini termasuk kes membabitkan 8 mahasiswa Universiti Malaya (UM) kerana tindakan ke atas mereka kerana penganjuran program yang memberi ruang sama rata kepada dua belah pihak dalam politik Malaysia.

“Begitu juga kes 3 mahasiswa UIA dihadapkan ke Mahkamah Universiti kerana berucap di luar pagar universiti,” katanya. – 29 Jun, 2015.

 

Artikel Berkenaan

 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *