Suhakam, NGO keliru dengan jawatankuasa khas Kabinet hak tanah Orang Asal

Sumber: The Malaysian Insider

HAKORANGASLI_200615_TMIAFIF_007_hasmy
Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam bergambar selepas majlis pelancaran buku ‘Kebangkitan Mempertahankan Hak Tanah Adat – Panduan Membawa Tuntutan Tanah Adat Orang Asli ke Mahkamah’ di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 20 Jun, 2015.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) mengakui masih keliru dengan penubuhan jawatankuasa khas Kabinet hak tanah Orang Asal yang diumumkan Putrajaya baru-baru ini.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata, mereka berhasrat bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan jawatankuasa itu bagi mendapatkan gambaran jelas dan terperinci mengenai fungsi dan peranannya.

“Timbalan perdana menteri seorang yang banyak tugas. Persoalan kita, adakah ini isu kepentingan paling utama kepada mereka?,” soalnya pada satu forum dan majlis pelancaran buku ‘Kebangkitan Mempertahankan Hak dan Tanah Adat’ di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu, yang diumumkan Senator Datuk Paul Low baru-baru ini, merupakan susulan laporan Inkuiri Nasional mengenai hak adat tanah orang asal yang diterbitkan pada 5 Ogos, 2013.

Bagaimanapun, beliau yang bakal bersara April tahun depan berkata, Suhakam sehingga ini masih tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai ahli panel yang membarisi jawatankuasa khas tersebut selain Muhyiddin.

Hasmy berkata, Low memaklumkan kepadanya jawatankuasa khas Kabinet itu akan meliputi peranan Suruhanjaya Bebas Nasional, satu daripada 18 syor Suhakam dikemukakan dalam laporan inkuiri itu.

Beliau berkata, susulan penubuhan jawatankuasa itu, Suhakam akan menangguhkan rancangannya menjelajah seluruh kampung Orang Asal di Semenanjung bagi memberi penerangan mengenai hak tanah mereka.

Sementara itu, JKOASM turut mempersoalkan sejauh mana pelaksanaan jawatankuasa itu akan menggunakan pengaruh politik dan kuasa undang-undang yang ada ke atas kerajaan negeri untuk melaksanakan 17 syor Suhakam yang lain.

“Ini kerana, secara amnya, tanah dan hutan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing- masing. Jawapan daripada Kabinet akan memberi kami idea sama ada jawatankuasa ini mempunyai keazaman politik yang diperlukan,” kata Pengerusi JKOASM Tijah Yok Chopil.

Tijah berkata, jawatankuasa khas Kabinet itu seharusnya mempertimbangkan syor jangka masa pendek seperti bantuan guaman untuk kes berkaitan tanah yang harus disegerakan memandangkan ia satu-satunya bentuk perlindungan yang boleh diperoleh Orang Asal ketika ini.

Katanya, JKOASM juga berharap jawatankuasa itu akan memaklumkan tempoh masa pelaksanaannya yang jelas kerana sebarang kelewatan berbuat demikian hanya akan menimbulkan keraguan.

“Kita mahu jawatankuasa Kabinet memastikan badan pelaksana yang dipertanggungjawab benar-benar mematuhi prinsip izin berasaskan makluman awal dan bebas serta telus, yang melalui pendekatan hak asasi manusia,” katanya. – 20 Jun, 2015.

 

Related Articles

 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *