Jangan sekat periuk nasi kami, kata penerbit dilabel ‘indie’ pada BTN

Sumber: The Malaysian Insider

Penerbit buku, Merpati Jingga bimbang tuduhan Biro Tatanegara terhadap gerakan muzik dan sastera indie akan menjejaskan maruah dan sumber rezeki penerbit buku serta pengkarya sastera. – Gambar Facebook, 16 Jun, 2015
Penerbit buku, Merpati Jingga bimbang tuduhan Biro Tatanegara terhadap gerakan muzik dan sastera indie akan menjejaskan maruah dan sumber rezeki penerbit buku serta pengkarya sastera. – Gambar Facebook, 16 Jun, 2015

Susulan amaran dikeluarkan Biro Tatanegara (BTN) terhadap gerakan muzik dan sastera indie, syarikat penerbitan hari ini menggesa agensi kerajaan itu menumpukan kepada peranannya membangun jati diri insan, terutamanya golongan penjawat awam dan bukannya cuba menutup periuk nasi industri buku indie.

Pengarah Urusan Merpati Jingga, Faisal Mustaffa berkata pihaknya bimbang tuduhan BTN terhadap gerakan muzik dan sastera indie akan menjejaskan maruah dan sumber rezeki penerbit buku serta pengkarya sastera.

“BTN sepatutnya fokus kepada perkara yang lebih kepada menaikkan elemen jati diri terutamanya di kalangan penjawat awam.

“Jangan buang duit pembayar cukai. Ada banyak lagi perkara penting yang perlu BTN buat untuk pembangunan insan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

BTN dalam satu dokumen memberi amaran kepada gerakan muzik dan sastera indie, mengatakan ia bersifat anti pembangunan dan boleh memberi kesan negatif kepada kerajaan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Badan pengajaran nilai sivik itu dalam satu dokumen online, yang kemudiannya dibuang, melabelkan Merpati Jingga sebagai penerbit indie bersama syarikat lain termasuk Studio Anai-Anai, Lejen Press, DuBook Pres, Poket Press.

Faisal bagaimanapun menafikan penerbitannya bergenre indie, sebaliknya lebih kepada menggalakkan pemikiran lebih kreatif, jujur dan kritis di kalangan penulis.

Namun pada masa sama katanya, itu tidak bermakna mereka bebas berkarya tanpa batasan kerana syarikat penerbitannya juga mempunyai entiti panel penapisan sendiri.

“Saya tak anggap Merpati Jingga sebagai indie. Saya tak bagi ‘title’ itu dan saya selalu persoalkan apa itu ‘indie’?

“Saya lebih menggalakkan pemikiran kritis. Kalau manuskrip itu terpilih maknanya mereka menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

“Tolonglah. Takkan kita nak tulis cerita pasal ‘suami ustaz’ atau ‘suami sotong’.

“Yang bezanya ialah, jika mereka (syarikat penerbitan arus perdana) hidang nasi, kita bagi piza. Ini soal pilihan,” katanya.

Faisal sebelum ini pernah ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan rumahnya diserbu Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana didakwa menerbitkan buku yang dianggap kerajaan sebagai kontroversi.

Katanya, pihaknya menyerahkan kepada peguam untuk meneliti isu itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Saya tak perasan dokumen itu sudah ada di laman web BTN sejak 11 Mac lalu sehinggalah melalui laporan berita dan media sosial,” katanya.

Merpati Jingga ditubuhkan sejak 2009 dan sehingga kini menerbitkan 30 karya buku.

Sementara itu, pemilik Selut Press, Aloy Paradoks melalui akaun Twitternya kecewa dengan tuduhan BTN, mengatakan: “Sampai hati BiroTataNegara declare aku menghidupkan gerakan musuh negara dalam ceramah2 dan slide show dia orang. Aku pelakon teater je kot”.

Ekoran itu, beliau turut mengumumkan pesta puisi tahunan, Eksotikata anjurannya dibatalkan.

“Bila BTN ‘declare’ kami perosak bangsa, dan #Eksotikata platformnya, aku pun nak isytiharkan. Pesta Puisi #Eksotikata 2015 tak ada. Dibatalkan,” katanya.

Pengasas Buku Fixi, Amir Muhammad ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sekadar berkata: “Yang pukul gendang biarlah mereka yang menari”.

Menurut BTN, pergerakan “geng indie mempunyai pengikut senyap yang ramai”, terdiri daripada pengundi muda dalam PRU14 akan datang.

Ia mengatakan kumpulan indie bergerak tanpa pemantauan khas pihak berwajib, berkemungkinan membawa “kesan negatif” kepada kerajaan.

Buku-buku terbitan geng indie itu, kata BTN dijual secara berleluasa tanpa sekatan dan halangan serta bersifat lucah dan bebas.

Antara ikon generasi muda yang didakwa BTN membawa idea bebas dan ekstrem ialah aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim, ahli DAP Melati Rahim dan penulis dan pembikin filem bebas Amir Muhammad yang disifatkan sebagai “ikon indie.”

Melati dalam responsnya keliru sama ada label itu dibuat atas kapasiti dirinya sebagai ahli DAP atau novel sulungnya, “Di Sebalik Serban” terbitan Merpati Jingga itu dianggap BTN sebagai karya lucah.

“Saya tak pasti sama ada (karya) lucah atau kerana saya ahli DAP yang berperwatakan Islamik.

“Kalau saya menulis, tak masuk DAP, mungkin saya tak tersenarai. Saya bukannya berpengaruh sangat,” katanya dihubungi The Malaysian Insider.

Mempertahankan tulisannya, beliau berkata novel terbitan semula “Pelacur Kelas Pertama” itu adalah kisah benar, menceritakan tentang seorang ustaz yang disegani masyarakat kerana wataknya yang alim tanpa mengetahui beliau melakukan penderaan seksual terhadap isterinya.

Katanya, buku itu tidak menceritakan secara terperinci adegan intim atau lucah keterlaluan, sebaliknya menekankan mesej mengenai masyarakat yang mudah melabelkan seseorang individu hanya berdasarkan imej luaran.

Katanya, buku itu juga melepasi kelulusan syarat tapisan KDN sebelum diterbitkan sebanyak 1,000 naskhah pada awal April tahun lalu.

“Saya tidak ambil tahu berapa jumlah terkini naskhah yang terjual di pasaran kerana komisennya disalurkan terus ke rumah kebajikan,” katanya yang menjadi wanita Melayu berpurdah pertama menyertai DAP tahun lalu.

Carian terkini mengenai dokumen di laman web BTN itu sejak malam tadi mendapati ia dipadamkan.

Tindakan BTN itu menimbulkan reaksi masyarakat di media sosial yang mengkritiknya kerana seolah-olah lari daripada objektif penubuhan asalnya.

“Nak dekati anak muda kenalah faham macam mana jiwa anak muda. Tapi apa yang BTN cuba buat ni bukan nak fahami, tapi nak mengawal,” kata pengguna akaun Twitter @zulhelmimalek.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming dalam responsnya melalui Twitter @imokman mendakwa, BTN menggunakan duit rakyat untuk mengadakan program anti DAP.

“Jadi duit rakyat diberikan kepada #BTN untuk mengeluarkan propaganda anti-DAP?” soalnya. – 16 Jun, 2015.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *