Menjelang Ramadan, Putrajaya akui hanya 33 rumah siap dibina

Sumber: The Malaysian Insider

Banjir di Semenanjung Malaysia pada Disember lepas adalah antara paling buruk pernah melanda negara ini, menjejaskan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor dengan kemuncaknya, lebih 250,000 orang dipindahkan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Jun, 2015.
Banjir di Semenanjung Malaysia pada Disember lepas adalah antara paling buruk pernah melanda negara ini, menjejaskan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor dengan kemuncaknya, lebih 250,000 orang dipindahkan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Jun, 2015.

Putrajaya hari ini mengesahkan hanya 33 unit rumah yang sudah siap dibina kepada mangsa banjir di seluruh Malaysia pada ketika penganut Islam bakal menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.

33 unit itu adalah rumah yang siap dibina kerajaan pusat sejak berakhirnya banjir buruk melanda Semenanjung Malaysia akhir tahun lalu.

“Sehingga 1 Jun 2015, sebanyak 33 unit siap dibina oleh kerajaan persekutuan di seluruh Malaysia dan diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim di Dewan Rakyat pagi ini.

Shahidan berkata, 309 sedang dalam peringkat pembinaan dan 238 unit dalam pra pembinaan.

Sebanyak 1412 unit rumah kekal baru akan dibina kerajaan pusat, sementara 57 unit dibina kerajaan negeri.

Shahidan juga menaruh keyakinan akan wujud kerjasama lebih baik dalam usaha membina rumah untuk mangsa banjir terutamanya selepas blok kumpulan ulama menguasai PAS sebaik berakhir muktamar baru-baru ini.

“Dan saya rasa kerjasama akan lebih baik lebih-lebih lagi dengan puak-puak ulama yang menguasai PAS sekarang,” katanya.

Banjir di Semenanjung Malaysia pada Disember lepas adalah antara paling buruk pernah melanda negara ini, menjejaskan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor. Pada kemuncaknya, lebih 250,000 orang dipindahkan.

Walaupun banjir reda, kerja pemulihan akan mengambil masa berbulan dengan ramai yang kehilangan rumah dan harta benda.

Bencana itu menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memendekkan percutian beliau untuk kembali ke negara ini bagi memantau usaha pemulihan, selepas gambar beliau bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii tersebar dan menjadi viral.

Dalam semakan bajet baru-baru ini, Putrajaya memperuntukkan lebih RM8.9 bilion bagi usaha pemulihan banjir, di mana RM500 juta diagihkan sebagai peruntukan awal pembaikan dan pemulihan serta program kebajikan bagi mangsa banjir.

Sejumlah RM800 juta lagi diperuntukkan untuk membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti sekolah, jalan raya, jambatan dan hospital. – 9 Jun, 2015.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *