Mangsa di Wang Kelian dan buruh asing di Qatar: Rasuah memusnahkan kemanusiaan – Muthanna Saari

Sumber: The Malaysian Insider

OLEH MUTHANNA SAARI

Penemuan 138 kubur di 28 kem sementara di tengah-tengah hutan di sempadan Thailand-Malaysia terus menjadikan negara kita tumpuan dunia. Ini tambah menghangatkan lagi isu-isu berkaitan pelarian Rohingya dan bakal membongkar akar sindiket pemerdagangan manusia yang kelihatan sudah bertapak kukuh di rantau ini khususnya bagi Thailand dan Malaysia untuk membanteras aktiviti tidak berperikemanusiaan ini.

Jika kita biasa menonton filem Hollywood tentang Perang Amerika-Vietnam, pasti teringatkan kem tahanan yang menempatkan Kolonel Braddock lakonan Chuck Norris dan tentera Amerika yang ditahan dan diseksa di kem tahanan perang di Vietnam. Keadaannya saling tak tumpah seperti foto-foto yang dirakamkan media yang diberi kebenaran pihak berkuasa untuk merakamkan keadaan kem sementara tersebut.

Mereka ini bukanlah mangsa tawanan perang kerana kenyataan-kenyataan awal pihak berkuasa mengaitkan mereka dengan sindiket pemerdagangan manusia di rantau ini. Tidak diketahui apa sebenarnya yang berlaku terhadap mangsa-mangsa ini. Apakah yang menyebabkan kematian mereka sehingga sebegitu banyak kubur ditemui di sekitar kem tersebut.

Penduduk tempatan yang mengakui perasan akan kehadiran warga Rohingya ini sejak awal tahun ini, atas dasar kemanusiaan memberi makan, minum dan pakaian kepada warga Rohingya ini. Kerana seorang tahanan perang sekalipun perlu dipenuhi keperluannya terhadap makanan harian, dan Konvensyen Geneva menjamin perkara ini.

Islam lebih-lebih lagi menjamin perkara ini dan di dalam Al-Quran disebut, “Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim, dan orang yang ditawan”. Rasulullah saw juga apabila diajukan seorang tawanan perang bernama Tsumamah bin Atsal berkata, “Berlaku baiklah saat kalian menjadikan dia tawanan”.

Ini tidaklah menghairankan kerana fitrah manusia yang mudah tersentuh melihat kesusahan orang lain. Tetapi yang menghairankan adalah bagaimana ada segolongan manusia yang sanggup memperdagangkan manusia ini untuk kepentingan diri sendiri.

Lebih parah lagi adalah pihak yang diberi amanah dan autoriti sendiri yang terlibat. Dua orang anggota polis turut ditahan untuk siasatan kerana disyaki terlibat di dalam sindiket ini. Ini seperti tipikal dalam filem Tamil, anggota polis yang korup berpakat dengan penjenayah menjalankan sindiket mereka dan akhirnya mendapat habuan masing-masing.

Peminat sukan bolasepak seluruh dunia pula dikejutkan dengan berita penahanan beberapa orang pegawai tinggi badan induk bolasepak dunia, FIFA. Mereka ini antaranya adalah presiden persatuan bolasepak dari beberapa buah negara di Amerika Utara, Carribean dan Amerika Selatan. Dan ini berlaku hanya beberapa ketika sebelum pemilihan presiden FIFA tahun ini dijalankan dan seperti dijangka, penyandang kerusi ini Sepp Blatter kembali menerajui badan induk ini buat penggal kelima sejak 1998.

Antara pendakwaan terhadap salah laku rasuah, sogokan dan penipuan berjumlah 150 juta dolar ini adalah pemilihan presiden FIFA 2011, pemilihan tuan rumah Piala Dunia 2010 dan perjanjian hak penajaan pakaian pasukan bolasepak Brazil.

Dalam satu siasatan yang berasingan di Switzerland, proses pembidaan terhadap hak penganjuran Piala Dunia 2018 dan 2022 kepada Rusia dan Qatar juga sedang dijalankan. Jika ada elemen salah laku rasuah dan sogokan berlaku dalam proses pembidaan ini, maka FIFA masih mempunyai masa untuk memperbetulkan keputusan dan menyelamatkan kemanusiaan khususnya di Qatar.

Ini kerana Qatar dalam kegembiraan mendapat hak penganjuran acara sukan paling berprestij ini dalam masa yang sama mengabaikan tanggungjawab kemanusiaannya. Insiden kematian buruh asing bagi menyiapkan infrastruktur dan kemudahan awam untuk acara tersebut dilaporkan meningkat dari sehari ke sehari.

Laporan khas tentang situasi buruh di Qatar yang dikeluarkan Gabungan Kesatuan Sekerja Antarabangsa (ITUC) pada Mac 2014 menyatakan, 1,200 orang mati sejak Qatar diumumkan mendapat hak penganjuran Piala Dunia 2018 dan dianggarkan sekurang-kurangnya 4,000 orang akan mati sebelum sepak mula perlawanan pertama pada 2022 kelak.

Kes kematian ini adalah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan kes kematian bagi pembinaan infrastruktur bagi penganjuran acara sukan lain seperti Sukan Olimpik Beijing 2008, Piala Dunia Afrika Selatan 2010, Sukan Olimpik London 2012 dan lain-lain.

Buruh asing ini dikatakan tidak mendapat hak yang sewajarnya, diberikan tempat tinggal berupa kem-kem pekerja yang kotor, sempit dan tidak mempunyai sistem kumbahan yang teratur serta bekalan air bersih yang tidak sempurna. Cuaca panas terik dan bekerja lebih jam demi mengejar masa untuk menyiapkan projek-projek pembinaan juga menyumbang ke arah kadar kematian buruh yang tinggi.

ITUC dalam laporannya membuktikan betapa seriusnya penyalahgunaan lebih 1.4 juta orang buruh asing di Qatar. Sistem kafala yang digunapakai Qatar memberi kuasa yang sangat luas kepada pihak majikan ke atas pekerja dalam merekrut pekerja, membayar gaji, autoriti mengeluarkan kad identiti serta menafikan hak untuk pekerja bertukar majikan mahupun untuk keluar negara. Ini sebenarnya merupakan satu bentuk perhambaan moden.

Apakah kesudahan penemuan kubur dan kem sementara di Wang Kelian yang meragut ratusan mangsa serta perkaitannya dengan sindiket pemerdagangan manusia rantau ini? Apakah pengumuman terkini perletakan jawatan Sepp Blatter sebagai presiden FIFA akan memberi sinar harapan kepada nasib buruh asing di Qatar?

Antara mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian, dan buruh asing di Qatar, mereka berkongsi banyak persamaan. Mereka terpaksa berhijrah untuk mencari rezeki, mencari kehidupan yang lebih baik. Akan tetapi mereka ditindas, diperdagangkan, dijadikan hamba di zaman moden. Dan mereka adalah mangsa kepada pihak yang tamak dan durjana, yang korup, yang membunuh kemanusiaan. – 3 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *